Selasa, 23 Juni 2009

Sebar nikmat iman, Islam dalam agenda dakwah


Saturday, June 13, 2009 (01:12:05)




Oleh: Yussamir Yusof
Sumber: http://www.bharian.com.my

Futur ataupun terhenti dalam menjalankan aktiviti dakwah; menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, sudah seringkali kita dengar dan lihat dengan mata dan telinga kita sendiri. Begitulah keadaan para pendakwah masa kini, ia bukan fantasi tetapi realiti yang sedang dan akan terus terjadi. Ya memang benar, keinginan, semangat dan kekuatan kita akui kadang-kala turun dan kadang-kala meningkat. Begitu juga dengan iman kita, sepertimana yang dikatakan oleh Imam Bukhari dalam sebuah riwayat, beliau berkata, “Iman adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan boleh berkurang.”

Imam Ahmad pernah ditanya tentang makna bertambah dan berkurangnya iman? Kemudian beliau menjawab dengan menukilkan ucapan dengan sanadnya sampai kepada ‘Umair bin Hubaib, dia berkata, “Iman bertambah dan berkurang”. Maka dia ditanya, “Bagaimana bertambah dan berkurangnya?” Dia menjawab: “Jika kita ingat Allah, memuji-Nya, bertasbih kepada-Nya, maka demikianlah bertambahnya. Dan jika kita lalai, melupakan-Nya, menyia-nyiakan-Nya maka itulah berkurangnya”. (Aqidatus-Salaf wa Ashabul-Hadis, hlm:265-266)

Memang benar iman boleh bertambah dan berkurang, tetapi untuk berhenti terus dari melakukan dakwah adalah perkara yang amat mendukacitakan. Sesungguhnya manusia diciptakan adalah untuk menjadikan khalifah di bumi. Dan sebagai khalifah salah satu tugasnya ialah menyampaikan risalah tauhid, menyeru kepada kebaikan, dan mencegah perkara-perkara yang mungkar. Firman Allah, “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (al-Imran 3:104).

Kita akui bahawa aktiviti dakwah ini bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai rintangan dan tribulasi akan mendatang bagi memadam aktiviti dakwah ini dari terus bersinar. Perkara ini pernah diutarakan oleh Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam sebuah artikel beliau yang bertajuk bertajuk kewajipan generasi muda islam hari ini. Kata beliau, “Tanggungjawab ini semakin bertambah berat atas ahli dakwah, engkau akan mendapati rintangan-rintangan itu sehingga dalam rumah-rumahmu sendiri, mungkin engkau mendapati ayahmu, saudaramu, sahabat-sahabatmu atau manusia yang lebih dekat darimu yang akan menghalangmu dan mengatakan kepadamu: “mengapa engkau berbuat demikian? Mahukah engkau dipenjara? Mahukah engkau ditangkap? Mahukah engkau diseksa? Mahukah engkau begini dan begitu?”

Namun, adakah kekangan-kekangan ini yang menjadikan kita berduka-cita? Tidakkah kita pernah terhibur dengan ganjaran-ganjaran besar yang pernah Allah tawarkan kepada mereka yang menyeru kebajikan dan mencegah kemungkaran? Malahan Allah menggelar para penyeru kebaikan dan pencegah kemungkaran ini sebagai sebaik-baik manusia. Firman Allah, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”.

Seharusnya kita berulang-ulang memperingatkan diri , bahawa jangan sesekali mengkhianati tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Dalam masa yang sama jangan sekali lagi membiarkan diri kita untuk tidak dipercayai oleh malaikat, sepertimana yang mereka pernah suarakan kepada Allah pada permulaan penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (al-Baqarah 2: 30)


Teruskanlah berpesan-pesan kepada kebaikan, dan penuh dengan kesabaran. Jangan menjadi Muslim yang pentingkan diri, merasa nikmat Iman dan Islam bersendiri. Islam melarang menjadi Muslim yang pentingkan diri sendiri, Islam menyuruh umatnya menyebarkan dua nikmat tersebut iaitu Iman dan Islam kepada seluruh manusia. Rugilah sesiapa yang menikmati Iman dan Islam bersendirian, kecuali jika mereka berkongsi bersama nikmat tesebut dengan menjalankan aktiviti dakwah. Sepertimana firman Allah, “Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”. (al-Ashr 103: 2-3)

Bagi para pendakwah yang masih tetap berdegil untuk futur atau berhenti dari jalan dakwah ini, biarlah firman Allah ini mengejutkan mereka kembali. Firman Allah, “Telah dila'nati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan munkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.”

Ayat ini mengingatkan kepada kita bahawa Allah telah melaknat Bani Israil yang tidak melarang perbuatan mungkar yang berlaku di sekeliling mereka. Mengapa ia terjadi? Kerana di kalangan mereka tidak ada lagi yang menjalankan aktiviti dakwah, mereka telah futur dalam gerakan dakwah; menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Adakah hal sedemikian kita mahu ia berlaku sekali lagi pada diri kita?


Ayuh semua, kita rapatkan saf, kita kukuhkan jentera kekuatan, kita kuatkan semangat. Agenda dakwah ini tidak harus terhenti, kerana agenda ini adalah tugas yang cukup mulia. Para Nabi dan Rasul telah melaksanakan kewajiban dakwah mereka, kini tugas itu harus digalas dan diteruskan oleh kita semua. Jangan biarkan lelah-lelah, kekangan-kekangan itu membuatkan kita terus jauh dari jalan dakwah ini kerana pertolongan Allah dekat dengan kita. Kesusahan itu hanyalah secebis dugaan, dan beruntunglah mereka yang mendapat dugaan dari Allah. Firman Allah, “Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar